
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.... selamat berpuasa buat semua umat Islam ,moga kita sentiasa di dalam redha-Nya...
Lama ana tak berkongsi di sini kan, jadi InshaAllah, hari ini ana nak kongsi beberapa kisah...tidak terlepas kepada lelaki ataupun perempuan termasuk diri ana. Ana khususkan perkongsian ini dengan para rijal (atuk, ayah, abang, adik, suami, anak) yang bertanggungjawab menasihati, memastikan, mendidik, memahamkan dan melaksanakan apa yang dikongsi. Ana juga khususkan kepada para Nisa' (ibu, isteri, kakak, adik dan anak) yang bertanggungjawab menjaga, mengamalkan, menginsafi, mendidik dan melaksanakan apa yang dikongsi....siatu tajuk yang menjadi tanggungjawab semua..."Sifat Wanita Beriman"
Ada 3 post, dan ana akan post sedikit demi sedikit bagi memudahkan pembacaan...
Sekiranya seorang wanita itu berakhlak dan menghiasi dirinya dengan sifat-sifat berikut, maka bergembiralah dia dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah untuknya.
Yang Pertama....
Keimanan dan taqwa kepada Allah serta kecintaannya kepada Rasul (s.a.w). Seorang wanita itu seharusnya mendahulukan Allah dan Rasul dalam apa jua perkara serta menjadikan keduanya sebagai kayu ukur dalam setiap gerak-geri dan tingkahlakunya.
Allah berfirman yang bermaksud : "Tiadalah bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (hak) untuk memilih dalam urusan mereka apabila Allah dan RasulNya telah memutuskan urusan itu. Barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata" [al-Ahzab : 36].
Dan Nabi s.a.w telah menjanjikan bahawa mereka yang mendahulukan Allah dan RasulNya dalam setiap perkara maka mereka akan mendapat kemanisan iman.
Nabi bersabda yang membawa maksud : "Tiga perkara yang mana ia terdapat pada diri seseorang itu, maka dia akan merasai kemanisan iman ; orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala sesuatu; orang yang mencintai orang lain kerana Allah; dan orang yang membenci kekafiran sebagaimana dia membenci dimasukkan ke dalam api neraka".
Seorang wanita yang beriman itu selalu mengingati Allah dalam keadaan bersendiri mahupun ramai, dan dalam keadaan senang ataupun susah. Hatinya sentiasa terikat dengan Allah dan dia sentiasa memelihara iman di dalam hatinya dengan zikir, ibadah-ibadah sunat, membaca al-Quran serta memerhati tanda-tanda kekuasaan Allah. Kehidupan bagi seorang wanita itu bukanlah emas dan perhiasan, kehidupan juga bukan suami ataupun keluarga; tetapi kehidupan bagi seorang wanita itu ialah iman dan amalan-amalan soleh yang akan dibawa berjumpa Allah kelak.
Allah berfirman yang bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan baik lelaki ataupun perempuan, sedang dia beriman, nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan Kami balasi mereka dengan pahala yang terlebih baik dari apa yang telah mereka amalkan" [al-Nahl : 97].
Seorang wanita yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai tunggak hidupnya, maka dia akan menjalani kehidupan di dunia ini dengan aman dan bahagia.
Dari Suhaib al-Rumi, Nabi berkata yang bermaksud : "Sungguh mengkagumkan urusan orang mukmin itu, setiap urusannya adalah baik, tidaklah perkara ini berlaku kepada seseorang pun melainkan orang mukmin, jika dia mendapat perkara gembira, dia bersyukur, itu adalah baik baginya, dan jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, itu adalah baik baginya"
...bersambung..
No comments:
Post a Comment